Masalah Remaja dan Cara Mengatasinya

 Pada era globalisasi ini, masalah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan semua pihak.Masalah sosial seperti mengambil dadah, ponteng sekolah, merokok dan sebagainya telah menyebabkan keruntuhan akhlak dalam diri remaja dan menjejaskan masa hadapan mereka. Masalah ini perlu diatasi dengan sebaik mungkin kerana remaja merupakan tiang negara seperti pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
  Terdapat pelbagai langkah yang menyebabkan remaja terjebak ke dalam kancah gejala sosial. Antaranya ialah alam rumah tangga yang tidak teratur. Ibu bapa yang sering bertengkar menyebabkan anak-anak memilih untuk melibatkan diri secara perlahan-lahan dengan gejala sosial untuk menghilangkan tekanan. Ajakan daripada rakan sebaya juga menyebabkan ramai remaja berasa seronok untuk melakukan masalah sosial kerana mereka mempunyai rakan yang sentiasa menemani mereka.
  Selain itu, antara faktor yang menyebabkan remaja terlibat dalam masalah sosial ialah pengaruh media massa. Dalam meniti arus kemodenan ini, teknologi semakin berkembang umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Tanpa kita sedari, teknologi yang kian berkembang pesat ini memudahkan remaja untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan bergaul dengan rakan-rakan di media sosial. Seterusnya, mereka akan mudah terpengaruh dengan budaya negatif di media sosial.
  Gajala sosial ini dapat diatasi sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa harus mengawasi pergerakan anak-anak supaya anak-anak tidak bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai pengaruh negatif. Ibu bapa juga harus meluangkan masa bersama anak-anak terutama pada hujung minggu supaya anak-anak terdedah kepada aktiviti yang sihat.
  Di samping itu, pihak sekolah juga perlu mengetatkan disiplin sekolah supaya murid-murid takut untuk melakukan kesalahan disiplin dan melatih diri untuk tidak mengulanginya. Murid-murid yang bermasalah pula hendaklah diberi lebih perhatian supaya pengaruh negatif mereka tidak menjangkiti murid-murid yang lain.
  Konklusinya, negara akan dapat melahirkan ramai remaja yang cemerlang sahsiahnya sekiranya masalah sosial yang kian menular ini dapat diatasi. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu seperti aur dengan tebing untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja yang sudah bersarang lama di negara kita.

Comments

Post a Comment